Muhajirin dan Ansar

MUHAJIRIN DAN ANSAR

Para Muhajirin dan Ansar adalah golongan sahabat yang pertama (mula-mula dan paling awal) menerima Islam dan iman secara langsung dari Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam. Sikap, jiwa dan hati mereka adalah yang terbaik kerana tidak dicemari oleh berbagai-bagai pengaruh jahiliyah seperti khurafat, tahayul atau karut-marut. Mereka berada di atas fitrah (agama) yang selamat dan bersih. Mereka menyandarkan akidah mereka hanya kepada wahyu Allah yang suci. Pemikiran mereka tidak ternoda oleh fahaman falsafah metafizik (falsafah-falsafah dari Yahudi, Nasrani dan Majusi terutamanya Falsafah Yunan atau Greek). Pola laku dan pola hidup mereka tidak dikotori oleh kesyirikan, bid'ah atau hawa nafsu. Akidah mereka sentiasa terpelihara.

Allah telah melihat jiwa dan hati para sahabat. Allah menjelaskan bahawa hati mereka adalah sebaik-baik hati setelah hati Rasulullah. Abdullah bin Masoud radiallahu 'anhu meriwayatkan:

اِنَّ اللهَ نَظَرَ فِى قُلُوْبِ الْعِبَادِ ، فَوَجَدَ قَلْبَ مُحَمَّدٍ خَيْرَ قُلُوْبِ الْعِبَادِ ، فَاصْطَفَاهُ لِنَفْسِهِ ، وَابْتَعَثَهُ بِرِسَالَتِهِ ، ثُمَّ نَظَرَ فِيْ قُلُوْبِ الْعِبَادِ بَعْدَ قَلْبِ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، فَوَجَدَقُلُوْبَ اَصْحَابِهِ خَيْرَقُلُوْبِ الْعِبَادِ ، فَجَعَلَهُمْ وُزَرَاءَ نَبِيِّهِ

"Sesungguhnya Allah telah melihat hati-hati para hamba-hambaNya maka Allah dapati hati Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam adalah hati yang terbaik antara hamba-hambaNya. Maka Dia memilihnya dan diutusnya dengan risalah, kemudian Dia melihat kepada hati-hati para hambaNya setelah hati Nabi-Nya. Maka Dia dapati hati-hati para sahabat adalah hati yang terbaik antara para hamba-hambaNya. Maka Dia jadikan mereka sebaik-baik pendamping Nabi-Nya yang mereka berperang di atas agama-Nya". (Hadis dikeluarkan oleh Ahmad 1/379. Disahihkan oleh Hakim dan disetujui oleh Az-Zahabi)

Wajib mengikuti (ittiba') kepada para Salaf as-Soleh terutamanya yang diketuai oleh para sahabat kerana mereka sentiasa mencari keredaan Allah dan mereka telah diredai oleh Allah sebagaimana dijelaskan dalam firman-Nya:

رَضِيَ اللهُ عَنْهُمْ

"Allah reda terhadap mereka (para sahabat)". (at-Taubah, 9:100)

يَبْتَغُوْنَ فَضْلاً مِنَ اللهِ وَرِضْوَانًا

"Mereka mencari kurnia dari Allah dan keredhaan-Nya". (al-Hasyr, 59: 8)

Ayat-ayat di atas menjelaskan bahawa para Salaf as-Soleh terawal (para sahabat), mereka dicintai oleh Allah Azza wa-Jalla dan mereka pula sangat mencintai Allah. Mereka telah diberi balasan dengan kekuatan iman, anugerah ilmu serta ketenangan jiwa dan hati oleh Allah Subhanahu wa-Ta'ala. Allah berfirman:

لَقَدْ رَضِيَ اللهُ عَنِ الْمُؤْمِنِيْنَ اِذْ يُبَايِعُوْنَكَ تَحْتَ الشَّجَرَةِ فَعَلِمَ مَا فِىقُلُوْبِهِمْ فَاَنْزَلَ السَّكِيْنَةَ عَلَيْهِمْ وَاَثَابَهُمْ فَتْحًا قَرِيْبًا

"Sesungguhnya Allah telah reda terhadap orang-orang mukmin ketika mereka berjanji setia kepadamu di bawah pohon maka Allah mengetahui apa yang ada dalam hati mereka lalu menurunkan ketenangan atas mereka dan memberi balasan kepada mereka dengan kemenangan yang dekat (waktunya)". (al-Fath, 48: 18)

Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam bersabda tentang ayat di atas:

لاَ يَدْخُلُ النَّارَ اَحَدٌ بَايَعَ تَحْتَ الشَّجَرَةِ

"Tidak akan masuk neraka seorangpun yang telah berbai'at di bawah pohon". (H/R Bukhari dan Muslim)

Hujjah-hujjah di atas membuktikan bahawa para salaf kita yang pertama iaitu yang terdiri dari para sahabat radiallahu 'anhum adalah golongan ahli syurga. Oleh itu merekalah yang paling layak dan benar untuk diikuti dan dicontohi dalam berakidah dan beramal.

wallohua'lam

Previous
Next Post »
"Aku wasiatkan kepada kamu untuk bertakwa kepada Allah; mendengar dan taat (kepada penguasa kaum muslimin), walaupun seorang budak Habsyi. Karena sesungguhnya, barangsiapa hidup setelahku, dia akan melihat perselishan yang banyak. Maka wajib bagi kamu berpegang kepada Sunnahku dan Sunnah para khalifah yang mendapatkan petunjuk dan lurus. Peganglah dan gigitlah dengan gigi geraham. Jauhilah semua perkara baru (dalam agama). Karena semua perkara baru (dalam agama) adalah bid’ah, dan semua bid’ah adalah sesat." (HR. Abu Dawud no: 4607; Tirmidzi 2676; Ad Darimi; Ahmad; dan lainnya dari Al ‘Irbadh bin Sariyah).